Rabu, 5 Januari 2011

Bursa Malaysia terus catat sejarah

Bursa Malaysia terus catat sejarah

KUALA LUMPUR 4 Jan - Dalam perkembangan yang belum pernah berlaku, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melepasi paras psikologi dan ditutup pada paras tertinggi baharu buat hari kedua berturut-turut, sebahagian besarnya dirangsang oleh keuntungan saham-saham perladangan.
Barometer pasaran menokok 18.47 mata atau 1.2 peratus untuk ditutup pada 1,551.89 dalam dagangan cergas. Ia dibuka 1.15 mata lebih tinggi pada 1,534.57.
Prestasi positif daripada kebanyakan pasaran ekuiti serantau yang disokong oleh keuntungan semalaman di Wall Street, merangsang momentum di sini, kata seorang peniaga.
Di Bursa Malaysia, Indeks Kewangan meningkat 136.87 mata kepada 14,116.32, Indeks Perusahaan menambah 53.84 mata kepada 2,930.08 dan Indeks Perladangan melonjak 146.28 mata kepada 8,279.61. Indeks FBM Emas menokok 121.75 mata kepada 10,613.49, Indeks FBM Ace meningkat 35.23 mata kepada 4,394.72 dan Indeks FBM70 menambah 106.67 mata kepada 11,169.58.
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 637 berbanding 233 manakala 262 kaunter tidak berubah, 249 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.
Jumlah dagangan melonjak kepada 2.011 bilion saham bernilai RM2.88 bilion, beranding 1.608 bilion saham bernilai RM2.09 bilion, semalam.
Kaunter paling untung, British American Tobacco, meningkat 60 sen kepada RM46.40, Sime Darby menokok 51 sen kepada RM9.46, Nestle menambah 42 sen kepada RM43.84, Ekovest untung 37 sen kepada RM2.74, Kulim meningkat 28 sen kepada RM12.76 manakala KL Kepong menokok 28 sen kepada RM22.66.
Antara kaunter aktif, Karambunai meningkat empat sen kepada 21 sen, Talam menokok setengah sen kepada 9.5 sen, Borneo Oil menambah 7.5 sen kepada 42 sen dan Malayan United meningkat dua sen kepada 22.5 sen.
Sebaliknya, United Plantation susut 28 sen kepada RM16.92, MAHB turun 21 sen kepada RM5.99 dan The Store rugi 18 sen kepada RM2.42.
Di Pasaran Utama, jumlah dagangan meningkat kepada 1.661 bilion saham bernilai RM2.792 bilion berbanding 1.297 bilion unit bernilai RM2.015 bilion sebelumnya.
Waran meningkat kepada 269.316 juta saham bernilai RM68.508 juta berbanding 213.234 juta unit bernilai RM57.886 juta yang direkodkan sebelumnya.Jumlah dagangan di Pasaran ACE bagaimanapun berkurangan kepada 63.007 juta saham bernilai RM11.91 juta berbanding 87.767 juta unit bernilai RM14.631 juta semalam.- Bernama

dipetik dari Utusan Malaysia 5 januari 2011